Cara Kawal Emosi Kemarahan
Setiap sifat dan emosi yang ada di dalam diri kita sudah menjadi fitrah setiap manusia. Seperti emosi marah, geram, sedih, kecewa, gembira, senang hati dan sebagainya. Tetapi sifat itu menentukan peribadi anda. Emosi kemarahan boleh menjadi salah satu penyebab anda bertindak di luar kewarasan akibat emosi tersebut telah mengawal diri. Mungkin anda bukanlah seorang yang mudah marah dan bersikap pemaaf. Tipulah jika anda katakan yang anda tidak pernah marah langsung.
Kawal perbuatan anda. Ketika marah, lidah anda mampu mengeluarkan kata-kata yang akan menyakitkan hati orang lain dan anggota badan anda pula akan melakukan perkara di luar batasan. Syaitan pasti menyukainya kerana ianya berjaya menghasut anda sehingga perasaan amarah menguasai diri. Ini akan menjadi penyebab terputusnya silaturahim sesama keluarga dan sahabat-handai. Tak dinafikan orang yang sedang dalam keadaan amarah, pasti sukar untuk mengawal diri.
Terdapat pelbagai cara dan tips yang berkesan untuk anda mengawal emosi kemarahan daripada menjadi lebih teruk. Antaranya;
1. Banyakkan bersabar
- Semasa dalam keadaan marah, pasti banyak perkara yang akan menguji tahap kesabaran kita untuk menerima sesuatu perkara. Disinilah penting untuk anda menyabarkan hati supaya tidak bertindak di luar kewarasan akal fikiran. Fikirlah secara rasional sebelum membuat keputusan. Pasti anda tidak akan menyesal akan tindakan anda yang mampu untuk bersabar akan dugaan mendatang!
2. Berdiam diri
- Orang yang sedang berada di dalam kawalan emosi marah akan mudah mengeluarkan kata-kata kesat yang menyebabkan pihak lawan rasa sakit hati. Maka terjadilah kes ‘berbalas mulut’. Anda dan juga pihak lawan sama-sama sedang dikuasai perasaan amarah. Apa yang perlu anda lakukan disini? Berdiam diri sahaja. Belum tiba masanya untuk anda mengeluarkan fakta-fakta penting mengenai topik yang diketengahkan ketika itu. Cuba untuk tenangkan diri sebelum anda berkata-kata.
3. Perbanyakkan istighfar
- Semasa sedang marah, setiap perkara yang dilakukan pasti kita tidak akan terfikir akibatnya di kemudian nanti. Apa yang kita tahu, semuanya sudah dilepaskan. Janganlah begitu. Tenangkan diri. Perbanyakkan istighfar kepada Allah S.W.T. Mohon petunjuknya. In Sha Allah, anda akan berasa lebih tenang untuk melakukan sesuatu.
4. Ambil wudhu’
- Biasakan diri untuk mengambil wudhu’ setiap masa. Bukan hanya ketika solat sahaja, tetapi sepanjang hari. Semasa melakukan aktiviti harian. ‘Sesungguhnya marah itu daripada syaitan. Dan syaitan itu diciptakan daripada api dan hanya api sahaja yang dapat dipadamkan dengan air. Jika ada di antara kamu sedang marah maka hendaklah dia berwudhu’ – Riwayat Abu Daud
5. Lakukan solat sunat
- Emosi kita akan sedikit terganggu semasa sedang berada di dalam emosi kemarahan. Hilang fokus dan minat terhadap kerja atau aktiviti yang sedang dilakukan. Mulalah kita hendak memberontak. Lakukan solat sunat. Tak lama. 5-10 minit sahaja. Ini untuk menenangkan hati dan meminta petunjuk daripada Allah S.W.T supaya dilembutkan hati kita dan memberi ketenangan dalam kehidupan.
6. Bersangka baik
- Dalam kehidupan kita, pasti akan mengalami perasaan marah terhadap orang yang paling rapat dengan kita seperti keluarga atau sahabat-handai. Janganlah diingati keburukannya. Ingat kebaikannya. Sepanjang kita mengenalinya, teliti dan kaji semula segala kebaikan yang telah dilakukan. Maka, hati kita akan lebih tenang untuk berfikir secara waras.
7. Ujian dan dugaan
- Setiap manusia pasti akan diberi ujian dan dugaan yang berlainan. Ini semua untuk memastikan samada kita bersyukur ataupun marah akan keadaan tersebut. Nah, inilah masanya untuk anda kawal emosi kemarahan agar tidak memberi impak yang besar dalam kehidupan anda. Jika sedang marah, jangan bertindak secara terburu-buru. Kawal emosi tu!
Tips : Bersabar, istighfar, tarik nafas dalam-dalam dan berfikir dengan tenang.
Comments
Post a Comment