7 Tips Berjimat Menjelang Raya


Bila sebut sahaja tentang Hari Raya, pasti suasana sudah sibuk menguruskan persiapan untuk menjelang musim perayaan ini. Ada yang sudah siap-siap membeli pakaian dan aksesori baru, ada juga menukar kereta baru, ada pula menambah ahli keluarga baru. Persiapan Raya anda sudah lengkapkah? Almaklumlah, Raya tahun 2019 ini kan awal bulan. Pasti ada yang sudah masuk gaji atau bonus, bolehlah berbelanja ekstra sedikit tahun ini. Tapi jangan pula berbelanja sampai tak ingat dunia. Belanja itu biarlah secara sederhana, tidak perlu bermewah-mewah. Kita beraya bukan untuk menunjuk tetapi untuk keselesaan masing-masing.

Lari bajet menjadi masalah utama selepas segala persiapan Raya telah pun dibuat. Apa yang perlu anda lakukan sebelum berbelanja? Rancang perjalanan kewangan anda. Pastikan perkara penting dilangsaikan terlebih dahulu. Nah, ini 7 tips berguna untuk berjimat semasa menjelang Hari Raya ini;

1. Rancang bajet anda

- Sebelum berbelanja di mana sahaja, pastikan anda memperuntukkan jumlah yang ingin digunakan. Contohnya, RM 1000. Beli barangan haruslah tidak melebihi jumlah ini. Kalau kurang dari jumlahnya, Alhamdulillah. Kawal sedikit nafsu anda.

2. Sediakan checklist

- Listkan segala barangan keperluan yang ingin anda beli. Seperti baju raya, kasut dan aksesori. Beli hanya mengikut keperluan, bukan kehendak. Jika ada barangan yang menggunakan kupon atau ada SALE, lebih menguntungkan. Jimat sedikit duit perbelanjaan anda. Barangan yang ingin dibeli juga haruslah mengikut kemampuan.

3. Keperluan dan Kehendak

- Bercerita mengenai keperluan atau kehendak, teliti dahulu yang mana penting dan tak penting untuk anda gunapakai semasa Hari Raya nanti. Jika masih ada baju raya yang boleh dipakai pada tahun ini dan tak terjejas, gunakan kembali. Jangan beli sampai hendak memenuhkan almari. Itu namanya pembaziran kalau pakai setahun sekali sahaja.

4. Bandingkan harga

- Kalau perempuan tidak sah jika tidak mengunjungi 2-3 kedai dalam satu hari. Nah, ini sebenarnya bagus. Anda boleh lakukan perbandingan harga antara kedai-kedai yang dikunjungi. Ini untuk mengelakkan anda mendapat barangan dan kualiti yang sama tetapi harga mahal. Jika anda jenis malas hendak keluar ke shopping mall, boleh saja layari laman web yang menjual barangan yang dikehendaki. Kini kan segalanya mudah. Hanya dihujung jari sahaja!

5. Balik kampung

- Bagi yang sememangnya setiap tahun pulang ke kampung halaman, rancang terlebih dahulu perjalanan anda. Ambillah cuti lebih awal atau beli tiket kapal terbang sebulan sebelum bulan puasa. Ini untuk mengelakkan harga mencanak naik apabila menghampiri bulan perayaan. Juga untuk mengelakkan kehabisan tiket. Nanti berayalah anda seorang diri di KL.

6. Asingkan perbelanjaan

- Setiap bulan pasti anda punya tanggungjawab untuk membayar ‘hutang bulanan’ seperti bil utiliti, telefon bimbit (postpaid), kereta, rumah dan sebagainya. Jika anda mempunyai komitmen sebegini, asingkan duit yang ingin dibelanja untuk persiapan raya dan duit perbelanjaan bulanan. Bayar hutang anda terlebih dahulu. Elakkan daripada ‘terjerat’ akibat lari bajet. Jika ada lebih, bolehlah buat belanja ekstra untuk Hari Raya.

7. Menabung

- Setiap tahun keluar sahaja kalendar baru, perkara utama yang dilihat oleh anda pastilah tarikh untuk Ramadhan dan Syawal. Betul, bukan? Maka, anda bolehlah mulakan merancang bajet anda untuk tahun tersebut. Menabung adalah solusi terbaik untuk elakkan anda menggunakan duit perbelanjaan bulanan semasa melakukan persiapan Hari Raya. Tak kiralah seberapa banyak pun yang anda menabung setiap bulan, asalkan ada duit ekstra bolehlah beraya sakan!

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin!

Comments

Popular posts from this blog

7 Sebab Mengapa Pentingnya Untuk Anda Mandi Setiap Hari

Punca Angin Dalam Badan, Tanda-Tanda & Cara Mengatasinya

Top 11 Bubble Tea Pilihan Untuk Penggemar Boba!