Punca Angin Dalam Badan, Tanda-Tanda & Cara Mengatasinya

Anda sering berasa badan kurang selesa? Perut anda selalu berangin? Ikuti artikel kali ini untuk mengetahui antara punca-punca angin dalam badan, tanda-tanda dan bagaimana cara untuk mengatasinya.

Beberapa faktor boleh dijadikan sebab kenapa badan anda sentiasa berangin dan menyebabkan ketidakselesaan untuk melakukan tugasan harian. Antaranya adalah disebabkan faktor pengambilan makanan dan juga akibat bernafas menggunakan mulut. Semasa memilih makanan untuk diambil, anda haruslah berjaga-jaga. Jika anda jenis yang mudah masuk angin selepas makan, elakkan daripada mengambilnya. Sesetengah makanan yang diambil boleh memberi zat dan khasiat penting buat badan manakala ada juga yang akan membuatkan badan kita mudah dimasuki angin.

Jika badan kita selalu berangin, pasti susah untuk beribadah dengan lebih fokus dan tenang serta menyebabkannya terbatal. Seperti membuang angin ketika solat. Ikuti 2 faktor utama punca angin dalam badan;

1. FAKTOR PEMAKANAN
- Setiap individu mempunyai kandungan gas yang berbeza dalam badan. Anda haruslah kenalpasti makanan yang membuatkan badan anda mudah berangin. Antara makanan yang harus dielakkan adalah;

o Buah-buahan seperti nangka, cempedak dan tembikai
o Sayur-sayuran seperti jering, petai, kacang buncis, mentimun, petola, terung dan bendi
o Susu dan keju
o Makanan bergoreng dan bersantan

2. FAKTOR PERNAFASAN
- Elakkan daripada bernafas menggunakan mulut kerana ini menyebabkan anda akan menelan angin lebih banyak. Udara yang melalui sistem pencernaan akan terperangkap di dalam perut.
- Bernafas secara normal, hanya kecuali jika anda mengalami selesema. Tetapi sebolehnya elakkan daripada bernafas mengikut mulut.

Tanda-tanda anda mengalami masalah badan berangin;

1. Lesu dan tidak bertenaga
2. Badan rasa tidak selesa, keletihan, sengal dan lenguh
3. Telapak kaki dan tangan terasa sejuk secara tiba-tiba
4. Seringkali menguap dan mudah mengantuk
5. Sukar untuk bernafas secara normal / nafas terasa pendek (tak lepas)
6. Tengkuk dan pinggang anda terasa tegang
7. Kulit kering dan perut terasa memulas (berangin)
8. Migrain
9. Hilang selera makan

Jika mengikut petua orang-orang tua dahulu, pasti mereka mempunyai cara tersendiri untuk mengatasi badan berangin. Tetapi di zaman moden ini, terdapat juga pelbagai cara yang berkesan untuk mengatasi angin dalam badan. Nah, ikuti tips di bawah;

1. Makanan berasaskan Vitamin C
- Jika anda ingin lebih berkesan membuang angin dalam badan, ambillah makanan yang mempunyai kandungan Vitamin C. Ini kerana ianya baik untuk meningkatkan imunisasi dan menghalang badan anda daripada dijangkiti penyakit. Anda digalakkan untuk mengambil buah-buahan dan sayuran yang mempunyai kandungan Vitamin C yang tinggi seperti oren, jambu batu, epal, delima, kiwi, anggur, strawberi, betik dan banyak lagi. Sayuran pula seperti brokoli, kobis bunga, kale dan lada benggala.

2. Minuman berhalia
- Meminum halia adalah petua yang paling berkesan untuk membuang angin. Kini, minuman berhalia juga telah dipelbagaikan daripada dijadikan serbuk air bancuhan sehinggalah dicampurkan ke dalam soda bikarbonat. Halia jika diminum secara mentah, pasti akan terasa pedas. Untuk mengurangkan kepedasan halia tersebut, campurkan minuman anda dengan lemon dan madu. Pasti lebih enak!

3. Bawang putih
- Bahan mentah yang seterusnya ini memang berkesan untuk mengusir angin dalam badan dengan pantas. Badan anda akan terasa hangat dan angin akan keluar secara perlahan-lahan.

4. Air rebusan daun betik
- Cara ini juga berkesan untuk hilangkan angin dalam badan. Hanya rebuskan 4 – 5 helai daun betik dengan 1L air. Rasanya sangat pahit tetapi sangat berkesan. Cuba dulu, baru tau!

5. Sup panas
- Semasa dimasuki angin, pasti anggota badan terutamanya perut berasa tidak selesa. Apa kata cuba ambil sup yang masih panas? Ini akan melegakan badan yang gelisah dan tidak selesa. Kesan panas daripada sup ini juga mampu untuk mengurangkan rasa lesu badan akibat angin.

6. Kerok duit syiling
- Pernahkah anda mendengar petua ini? Duit syiling dikerok ke badan kita supaya ia boleh membuka liang-liang kulit. Ianya bukan sahaja berhasil untuk membuang angin malahan ia berkesan untuk melonggarkan otot dan urat yang tegang.

7. Bersenam
- Antara punca utama badan anda berangin adalah disebabkan kurang melakukan aktiviti bersenam. Kurang pergerakan menjadi penyebab badan terasa sengal dan lenguh. Bersenamlah setiap hari sekurang-kurangnya selama 30 minit untuk mengeluarkan peluh dan melenturkan otot-otot badan supaya tidak terasa tegang.

Tips : Jagalah kesihatan diri anda sendiri!

Comments

Popular posts from this blog

7 Sebab Mengapa Pentingnya Untuk Anda Mandi Setiap Hari

7 Aktiviti Ekstrim / Lasak Sesuai Untuk Wanita